GEORGE TOWN: Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) atau turut dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang akan ditutup sementara Ahad depan, 23 Jun, bermula 12.01 tengah malam hingga 9 pagi bersempena dengan acara larian amal Pantai Marathon 2024.
Penganjur larian Pantai Hospital menerusi hantaran di Facebook memaklumkan penutupan membabitkan laluan sehala dari Bayan Lepas ke Batu Kawan dan jambatan akan dibuka semula seperti biasa pada 9 pagi selepas acara maraton berakhir.
Sehubungan dengan itu, orang ramai disyorkan untuk menggunakan Jambatan Pulau Pinang (Jambatan Pertama) sebagai laluan alternatif dan mematuhi papan tanda dan arahan disediakan.
"Peserta Pantai Marathon 2024 boleh menggunakan bas percuma yang disediakan dari Queensbay Mall ke lokasi acara yang bertempat di Batu Maung Foodie, dari 11.30 malam hingga 11.30 pagi," menurut hantaran itu.
Pengguna boleh menghubungi Hotline Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) menerusi talian 1-300-30-2828 untuk mendapatkan maklumat trafik atau bantuan kecemasan.
-- BERNAMA